Tuesday 2 October 2012

BAJET 2013

 MUHAMMAD IRFAN BIN HASSAN
158046
BACHELOR SAINS PEMBANGUNAN MANUSIA
FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA 

02 OKTOBER 2012 – BAJET 2013

            Baru-baru ini, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri Malaysia telah membentangkan Bajet 2013. Saban tahun rakyat menantikan pengumuman bajet ini. Jangkaan awal bagi Bajet 2013 ini adalah bagi membantu meringankan beban hidup rakyat di era serba moden ini.
            Persoalannya kini, sejauh mana Bajet 2013 membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia? Salah satu perkara yang terkandung dalam bajet ini adalah pemberian baucar buku kepada golongan pelajar sebanyak RM 250 yang mana sebelum ini RM200. Hal ini pastinya disambut baik golongan pelajar yang pastinya memerlukannya bagi tujuan pelajaran.
            Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan Kad Diskaun 1 Malaysia (KDS1M) bagi golongan mahasiswa. Namun hakikatnya, ia hanya boleh digunakan di kedai tertentu sahaja seperti KFC, MPH Bookstore dan lain-lain.  Sangat bermakna seandainya ia boleh digunakan di kedai-kedai keperluan pelajar bukannya kehendak pelajar. Seolah-olah menggalakkan pelajar kita mengamalkan gaya hidup mewah dengan berbelanja sakan.
Meskipun adanya baucar buku dan Kad Diskaun 1 Malaysia (KDS1M), ia hanya meringankan beban pelajar buat sementara waktu sahaja. Jika dilihat pada pemberian baucar buku yang pertama dahulu, pelajar hanya diberikan tempoh 3 bulan untuk menghabiskan baucar buku mereka.
RM200 amat besar nilainya bagi golongan ini, namun mereka menghabiskan kepada perkara yang kurang perlu semata-mata kerana ingin segera menghabiskan baucar yang diberi.  Tambahan lagi, barang keperluan dan harga makanan di kawasan kampus sendiri dilihat terlalu mahal buat golongan ini, dan perkara inilah seharusnya dipandang serius.
Selain itu, kakitangan kerajaan dijanjikan bonus sebanyak satu bulan setengah gaji mereka. Perkara ini adalah wajar bagi menghargai jasa mereka dan pastinya hal ini disambut baik oleh kakitangan kerajaan. Namun begitu, ia menjadi buah mulut kakitangan swasta kerana mereka juga penyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.
Kualiti kerja kakitangan swasta dilihat lebih cekap dan efisyen berbanding kakitangan awam di negara kita, namun peranan dan sumbangan mereka seperti tidak dihargai. Seharusnya, perkara ini dikaji semula dan diwujudkan satu langkah yang lebih bersifat adil dan telus agar semua pihak berpuas hati.
Bagi golongan pendapatan rendah pula, mereka berpeluang menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia 2.0 (BR1M 2.0) yang mana melibatkan golongan umur 21 tahun ke atas, tidak kira bujang mahupun yang sudah berumah tangga. RM250 yang bakal diterima adalah nilai yang banyak, namun hakikatnya ia sedikitpun tidak membantu meringankan beban hidup rakyat apa lagi meningkatkan taraf hidup.
Nilai ini boleh dihabiskan dalam masa yang singkat sahaja kerana taraf hidup pada masa kini sudah meningkat berbanding 20 tahun dahulu. Bantuan yang melibatkan lebih 5 juta orang ini, mungkin lebih bermakna dengan mengurangkan kos hidup rakyat untuk jangka masa panjang dan melibatkan 28 juta rakyat Malaysia.
Hasil negara menerusi kutipan cukai dan sebagainya adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan apa yang bakal dibelanjakan untuk rakyat dalam Bajet 2013. Untuk memastikan rakyat mencapai kualiti hidup yang lebih baik selaras dengan dunia moden pada hari ini, bajet yang lebih besar diperlukan bagi memastikan semua golongan tanpa mengira latar belakang dan bidang mendapat hak yang sepatutnya.